Syarat yang utamanya ialah Humazan tidak lagi menyerang kaum Muslimin. Tetapi janji itu tidak ditepati. Dan dia tewas juga akhirnya. Lalu turut menjadi tawanan perang. Humazan tidak boleh dimaafkan lagi. Dia terpaksa dijatuhi hukuman mati.
Humazan merayu supaya dibawa menghadap Khalifah Islam pada masa itu iaitu Sayidina Umar al-Khattab. Alasannya ialah dia tidak mahu dihukum oleh panglima bawahan. Dia ingin mati di tangan khalifah sendiri.
Dengan mengenakan pakaian kebesarannya, berangkatlah Humazan menghadap Sayidina Umar. Alalangkah terkejutnya Humazan melihat pemimpin besar umat Islam hanya memakai pakaian dari kain yang kasar dan bertampal-tampal. Humazan tertunduk kerana malu.
“Kenapa engkau tidak pernah menepati janjimu dengan kami orang-orang Islam?” tanya Sayidina Umar kepada Humazan.
Tetapi Humazan tidak menjawab. Dia meminta segelas air untuk menghilangkan dahaga. Namun tidak pula diminum air yang diberikan kepadanya. Hanya dipegang gelasnya beberapa ketika.
“Kenapa kau tak minum?” tanya Sayidina Umar lagi sambil memerhati gelagat musuh di hadapannya.
“Aku takut kalau-kalau aku dibunuh sebelum meminum air ini,” jawab Humazan.
“Jangan takut. Kami tidak akan mengapa-apakan kamu selagi kamu tidak minum air itu,” kata Sayidina Umar memberi jaminan.
Mendengarkan kata-kata itu, Humazan terus menumpahkan air ke tanah seraya berkata, “Wahai Umar, sekarang engkau tidak boleh berbuat apa-apa lagi kepadaku kerana kau telah berjanji tidak akan mengapa-apakan aku selagi aku tidak meminum air tadi.”
Sayidina Umar sedar akan helah musuh itu. Namun beliau tetap berpegang pada janjinya. Humazan pun dibebaskan. Dia boleh pergi dari situ tanpa sebarang gangguan. Tetapi anehnya, Humazan tidak pula bergerak ke mana-mana.
Di hadapan Sayidina Umar dia berdiri dengan wajah yang sedih dan terharu. Dan dengan rela hati Humazan pun melafazkan dua kalimah syahadah tanda ke-Islamannya.
Sambil tertunduk hiba dia berkata, “Aku sengaja mengujimu dengan air itu, benarkah kamu sangat berpegang pada janji. Aku lakukan ini kerana tidak mahu orang mengatakan aku memeluk Islam untuk mengelak daripada dibunuh.”
(Koleksi Asuh / Susunan Muhammad Widad)
-----------------
TAMBAHAN...
1.ALLAH S.W.T BERKUASA MEMBERIKAN HIDAYAH KEPADA SESIAPA SAHAJA YANG DIKEHENDAKINYA DAN MENYESATKAN MANA-MANA ORANG YANG DIKEHENDAKINYA SEPERTI MANA FIRMANNYA:
ERTINYA:
"...DEMIKIANLAH ALLAH MENYESATKAN SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA (MENURUT UNDANG-UNDANG PERATURANNYA)DAN MEMBERI HIDAYAH PETUNJUK KEPADA SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA (MENURUT UNDANG-UNDANG PERATURANNYA);DAN TIADA YANG MENGATAHUI TENTERA TUHANMU MELAINKAN DIA LAH SAHAJA.DAN (INGATLAH,SEGALA YANG DITERANGKAN BERKENAAN DENGAN) NERAKA ITU TIDAK LAIN HANYALAH MENJADI PERINGATAN BAGI MANUSIA..."
(AL-MUDDATHIR:31)
2.JIKA SESEORANG TELAH MEMPUNYAI AZAM YANG KUAT DAN SEMANGAT YANG TINGGI TERHADAP SESUATU KEBAIKAN YANG DIREDHAI OLEH ALLAH S.W.T ,HENDAKNYA DIA BERTAWAKAL KEPADA ALLAH S.W.T.DENGAN ERTI MENYERAHKAN SEGALA PERKARA DAN PERSOALANNYA KEPADA ALLAH S.W.T,NESCAYA ALLAH AKAN SENTIASA MENGABULKAN SEGALA HAJAT DAN PERMOHONANNYA.HAL INI JELAS DIPERINTAHKAN OLEH ALLAH S.W.T MENERUSI FIRMANNYA;
ERTINYA:
"....KEMUDIAN APABILA ENGKAU TELAH BERAZAM (SESUDAH BERMESYUARAT,UNTUK MEMBUAT SESUATU)
MAKA BERTAWAKALLAH KEPADA ALLAH .SESUNGUHNYA ALLAH MENGASIHI ORANG-ORANG YANG BERTAWAKAL KEPADANYA..."
(ALI IMRAN:159) DI PETIK DARI PENGAJARAN KISAH SEJARAH 99 WALI ALLAH......